Kes penyelewengan RM230 juta tak libatkan institusi zakat – Azam Baki

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, siasatan kes penyelewengan RM230 juta dikaitkan dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setakat ini tidak membabitkan sumber dana daripada institusi zakat dalam negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan pihaknya mendapati, penyelewengan dikesan berlaku dalam NGO itu.

Beliau berkata, NGO terbabit menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber termasuklah komisen yang diperoleh daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Bagaimanapun, dana ini tidak sampai ke tujuan yang sepatutnya. Sebaliknya, ada dalam kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dana ini untuk kepentingan peribadi termasuk membeli aset-aset mewah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, SPRM kini memperluas skop siasatan dan komited terus memastikan ketelusan serta kebertanggungnjawaban dalam setiap proses semakan selaras prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.

Media hari ini melaporkan, dua lelaki termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO direman empat hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes terbabit.

Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berusia 57 dan 61 tahun itu dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis untuk siasatan mengikut Akta SPRM 2009.

Memetik sumber, media semalam melaporkan siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara 2018 hingga 2024.

Siasatan turut mendapati timbalan pengerusi NGO itu memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan juga peribadi.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img