SEORANG wanita bersama anak lelaki dan perempuannya ditahan kerana disyaki terlibat jenayah penipuan tawaran bantuan kebajikan yang menyebabkan warga emas kerugian kira-kira RM8,000 di hospital di Teluk Intan pada 29 Jun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 22 hingga 50 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Semenyih, Selangor pada Jumaat lalu.
“Ketika kejadian, mangsa yang berusia 67 tahun datang ke hospital berkenaan untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Dia kemudiannya didatangi seorang wanita (suspek) yang memperkenalkan diri sebagai pekerja kebajikan dan menawarkan bantuan kebajikan masyarakat sebanyak RM2,000 sebulan kepada mangsa.
“Mangsa kemudian menyerahkan seutas rantai leher, sepasang subang, rantai pendek dan tiga cincin emas sebelum menyedari dirinya diperdaya apabila suspek tidak kembali menemuinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Alwi berkata, dalam serbuan sama, turut dirampas pakaian dipercayai digunakan suspek semasa memperdayakan mangsa, selain polis berjaya mendapatkan semula barang kemas milik mangsa yang dijual di kedai pajak gadai di Teluk Intan.
“Kesemua suspek kini direman empat hari hingga 7 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali yang menawarkan bantuan kebajikan dengan meminta barang kemas atau wang tunai.






