SEORANG wanita mendakwa kerugian RM622,792.65 akibat diperdaya individu menyamar peguam dari Hong Kong yang menawarkan bantuan mendapatkan semula wang mangsa yang pernah hilang akibat penipuan pembelian barang kemas melalui media sosial.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan pada 18 Julai lalu selepas mangsa berusia 27 tahun menyedari diperdaya seorang individu menerusi media sosial.
Menurutnya, wanita warga tempatan berkenaan sebelum itu berurusan dengan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai peguam dari Hong Kong.
“Suspek menawarkan bantuan untuk mendapatkan semula wang wanita itu yang pernah hilang akibat penipuan pembelian barang kemas melalui media sosial.
“Namun untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan, mangsa diarah membuat pembayaran menggunakan mata wang kripto sebanyak 12 transaksi bermula 23 Jun 2026 sehingga 18 Julai 2026.
“Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM622,792.65,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas cuba menghubungi semula individu terbabit, namun nombor telefonnya telah disekat.
“Kes ini disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara antara satu tahun hingga 10 tahun, sebatan serta denda,” katanya.
Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan siber digalakkan menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk tindakan segera.
Selain itu, semakan nombor telefon dan akaun bank mencurigakan boleh dibuat melalui Semak Mule CCID sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.






