SEORANG penyelia sebuah syarikat pengangkutan maut akibat digilis kenderaan berat dalam kemalangan di Jambatan Muhibbah, Jalan Pelabuhan Barat di Klang malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.45 malam ketika mangsa, seorang lelaki berusia 37 tahun menunggang motosikal dari arah Pelabuhan Barat menghala ke Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan terjatuh di atas jalan raya sebelum digilis oleh sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti.
“Penunggang motosikal itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jit Huey berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diminta tampil segera bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Mustakim Najri di talian 012-582 6983 atau Balai Polis Trafik Klang Selatan di talian 03-3372 2222,” katanya.


