Ketua Polis Daerah Tawau meninggal dunia

KETUA Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tawau pada jam 2.04 pagi tadi.

Berita mengejutkan pemergian Allahyarham yang berusia 53 tahun itu dimaklumkan menerusi hantaran rasmi Polis Daerah Tawau di laman Facebooknya, pagi ini.

Dalam hantaran berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan dukacita atas kehilangan Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang pegawai polis yang banyak menabur bakti sepanjang perkhidmatannya.

“Dengan penuh rasa dukacita dimaklumkan bahawa Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin, 53, kembali ke rahmatullah pada jam 2.04 pagi tadi di Hospital Tawau.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” menurut hantaran itu.

Tinjauan di Unit Forensik Hospital Tawau mendapati ahli keluarga Allahyarham serta pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau memenuhi ruang menunggu sementara menantikan perkembangan terkini berhubung urusan pengurusan jenazah.

Suasana pilu menyelubungi pekarangan unit berkenaan apabila pegawai dan anggota, sahabat handai dan kenalan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Pemergian Allahyarham turut mengundang rasa sedih dalam kalangan pengamal media tempatan yang pernah berurusan dengannya, selain masyarakat setempat yang mengenali beliau sebagai seorang pegawai polis yang komited dan mudah didekati.

Ramai yang meluahkan rasa terkejut menerusi media sosial sejurus berita itu tersebar, dengan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada PDRM, khususnya warga IPD Tawau.

Allahyarham dikenang atas dedikasi dan komitmennya dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan serta ketenteraman awam sepanjang hampir lima tahun menerajui IPD Tawau.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img