SEORANG konsultan sebuah syarikat swasta kerugian RM690,500 setelah menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian sejak November lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata mangsa, seorang wanita berusia 71 tahun mendakwa telah melihat iklan pelaburan saham yang menawarkan keuntungan tinggi melalui aplikasi TikTok sebelum berhubung dengan suspek wanita melalui aplikasi WhatsApp
“Suspek menjanjikan pulangan keuntungan 100% dalam tempoh masa singkat. Mangsa yang berminat dengan pelaburan itu diminta memuat turun aplikasi QNTCX untuk mendaftar keahlian dan membuat pelaburan.
“Mangsa telah melakukan 20 transaksi kemasukan wang ke dalam empat akaun bank milik syarikat berbeza antara 10 Nov hingga 23 Dis 2025 berjumlah RM690,500,” katanya dalam kenyataan.
Azizee berkata mangsa menyedari telah diperdaya apabila tidak menerima keuntungan dijanjikan, malah diminta membuat pembayaran tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran keuntungan.
Beliau berkata warga emas itu kemudian membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Timur Laut, 29 Dis lepas.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.



