TAKTIK segelintir warga asing mengunyah sirih yang dicampur dengan dadah disyaki syabu bagi mendapatkan kesan khayal terbongkar selepas pihak berkuasa menyerbu sebuah gerai berhampiran Terminal Bas Klang di Jalan Kepayang, hari ini.
Kegiatan itu dikesan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dan Putrajaya yang dijalankan bagi membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan, lapor Harian Metro.
Menurut sumber, pemeriksaan rapi di gerai terbabit menemukan beberapa paket dipercayai mengandungi syabu bersama bungkusan sirih yang dipercayai dijual kepada pelanggan secara rahsia.
Katanya, siasatan awal mendapati gerai berkenaan bukan sahaja menjual sirih yang menjadi kunyahan harian dalam kalangan warga asing, malah dipercayai turut membekalkan syabu kepada pelanggan tertentu.
“Sindiket atau penjaja di kawasan ini menggunakan taktik menjual sirih bagi mengaburi mata pihak berkuasa, namun secara sulit mereka turut menawarkan syabu.
“Kesan siasatan mendapati dadah berkenaan dipercayai dicampurkan bersama sirih dan dikunyah oleh warga asing untuk mendapatkan kesan khayal yang lebih kuat,” katanya.
Susulan penemuan itu, pihak berkuasa merampas semua dadah yang disyaki syabu serta bahan jualan di gerai berkenaan bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, penjaga gerai terbabit dipercayai sempat melarikan diri ketika pemeriksaan dijalankan.
Menurut sumber, siasatan kini tertumpu kepada usaha mengesan individu yang mengendalikan gerai berkenaan serta mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah yang berselindung di sebalik perniagaan sirih.






