TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Bersatu sepatutnya menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN) secara terhormat, bukannya terus bertindak melemahkan gabungan itu dari dalam.
Sehubungan itu beliau membidas tindakan Bersatu yang didakwa cuba merobohkan PN menerusi pelbagai serangan dan aduan rasmi, namun pada masa sama berpura-pura sedih apabila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) membatalkan pendaftaran gabungan itu.
“Bersatu tidak perlu berusaha membubarkan PN atau berterusan melancarkan serangan terhadap gabungan ini.
“Adalah lebih baik Bersatu menarik diri sahaja. Pihak mereka yang membuat aduan kepada JPPM, tetapi kini mereka pula yang berdukacita apabila pendaftaran PN dibatalkan,” katanya lapor Berita Harian.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, yang menyifatkan cadangan PN untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap partinya sebagai perkara yang ‘aneh dan luar biasa’.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, mengumumkan gabungan itu bakal mengambil tindakan tatatertib terhadap Bersatu kerana didakwa bertindak bercanggah kepentingan PN, termasuk bertanding menentang calon gabungan pada PRN Negeri Sembilan.
Menurut Takiyuddin, tindakan diambil mengikut Fasal 15 Perlembagaan PN yang memperuntukkan hukuman amaran, penggantungan atau pemecatan mengikut tahap keseriusan kesalahan.
Krisis itu meletus selepas Bersatu mengemukakan aduan kepada JPPM atas dakwaan dinafikan hak menghadiri, memberi pandangan dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.
Sususlan aduan itu, JPPM membatalkan pendaftaran PN pada 20 Okt selepas mendapati maklum balas gabungan gagal menyangkal asas pembatalan berkenaan.
Bagaimanapun pelaksanaan keputusan JPPM ditangguhkan oleh mahkamah membolehkan PN beroperasi seperti biasa sementara menantikan proses undang-undang selesai.





