Lebih 10,000 akaun palsu isu 3R dikenal pasti MCMC untuk diturunkan – Fahmi

LEBIH 10,000 akaun palsu yang membawa kandungan berkaitan isu 3R iaitu raja, agama dan kaum dikenal pasti untuk diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat 16 Ogos lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pengesanan terhadap akaun berkenaan dilakukan secara berterusan dengan sekurang-kurangnya 1,000 akaun palsu baharu dikesan hampir setiap hari.

Menurutnya, jumlah berkenaan bukan hanya direkodkan sejak awal tahun ini, malah pengesanan turut dilakukan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Angka 10,000 itu bukan hanya dari awal tahun, malah sejak sebelum PRN Johor. Hampir setiap hari sekurang-kurangnya 1,000 akaun palsu baharu dikesan.

“Apakah fungsi akaun-akaun palsu ini jika bukan untuk membawa berita palsu, menyebarkan maklumat yang tidak benar dan menyampaikan kandungan yang tidak betul? Maka, kita perlu melipatgandakan usaha kita,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Ogos 2026 di Putrajaya, hari ini.

Fahmi berkata, usaha menangani kewujudan akaun palsu perlu dipergiat bagi membendung penyebaran kandungan tidak benar yang boleh menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

Beliau berkata, tindakan berterusan perlu diambil bagi memastikan platform dalam talian tidak disalahgunakan untuk menyebarkan kandungan yang boleh menimbulkan ketegangan berkaitan isu 3R.

MCMC sebelum ini turut menjelaskan bahawa akaun palsu dan identiti yang tidak dapat disahkan menjadi antara cabaran dalam menangani kandungan berbahaya serta aktiviti penipuan dalam talian.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here