SEORANG lelaki kehilangan wang simpanannya berjumlah RM516,341 selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan sehingga 60 peratus sehari menerusi perniagaan kasut tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa yang berusia 56 tahun membuat laporan polis semalam selepas menyedari dirinya ditipu.
Katanya, mangsa diperdaya dengan tawaran kononnya pelabur boleh memperoleh pulangan antara 30 hingga 60 peratus sehari dengan melaburkan sejumlah wang yang besar untuk tempoh singkat.
“Antara 3 Julai hingga 14 Ogos, mangsa membuat 24 transaksi ke 24 akaun bank menggunakan wang simpanannya sendiri berjumlah RM516,341.
“Dia kemudian diarah membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan yang didakwa diperoleh, namun mula berasa curiga selepas tidak menerima sebarang pulangan sepanjang tempoh pelaburan,” katanya lapor Buletin TV3.
Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda.





