Polis tahan pemandu lori JIM dan kereta bantu siasatan kemalangan maut tiga sekeluarga

POLIS menahan pemandu lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pemandu kenderaan yang berlanggar dengan kenderaan berat itu sehingga berlaku kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur awal pagi hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi meneliti setiap aspek termasuk semakan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan itu.

“Pihak polis setakat ini menahan pemandu lori serta pemandu kenderaan yang melanggar lori  untuk memastikan pihak mana yang bersalah.

“Permohonan reman terhadap individu yang ditahan dilakukan pada pagi ini. Keluarga mangsa disahkan berada di laluan pejalan kaki yang selamat sebelum lori berkenaan terbabas lalu melanggar mangsa,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang giat mengumpul rakaman CCTV dari pelbagai sudut dan polis percaya kawasan itu mempunyai liputan kamera meluas yang dapat membantu memberi gambaran sebenar kejadian.

Terdahulu, media melaporkan, tiga sekeluarga maut selepas dilanggar lori JIM yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini, awal pagi tadi.

Mereka yang maut dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu ialah lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun, manakala isteri lelaki itu parah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here