SEORANG lelaki warga emas maut selepas kereta BMW dipandunya terbabas sebelum merempuh pagar sebuah institut memandu di Kilometer 25.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Alur Tuman, Marang hari ini.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata, kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Mazri Hussin, 65, parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Masjid Kelulut menuju ke rumahnya di Kampung Pulau Kerengga sebelum nahas berlaku.
“Setiba di lokasi, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan lalu melanggar pagar sebuah institut memandu,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Buletin TV3.
Mohd Sofian berkata, pemeriksaan mendapati kereta terbabit mengalami kerosakan pada bahagian bonet, selain cermin dan tayar hadapan pecah.
Katanya, pintu hadapan sebelah kiri serta fender kenderaan itu turut kemek akibat rempuhan.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.






