Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan Naimah Khalid untuk membatalkan tuntutan cukai tambahan berjumlah RM313.8 juta yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim Evawani Farisyta Mohammad memutuskan bahawa LHDN telah bertindak melangkaui kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan apabila mengeluarkan notis taksiran cukai tambahan bagi tahun taksiran 2018 terhadap Naimah, balu kepada bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin.
Mahkamah memutuskan bahawa Akta Cukai Pendapatan hanya terpakai kepada pendapatan yang diperoleh di dalam negara serta pendapatan yang berpunca dari luar negara yang dibawa masuk ke Malaysia, lapor FMT.
Menurut hakim, beberapa hartanah di Amerika Syarikat yang menjadi asas kepada taksiran LHDN telah pun dijual, namun tiada bukti dikemukakan kepada mahkamah bahawa hasil jualan tersebut pernah dibawa masuk ke Malaysia.
“Pemohon (Naimah) tidak boleh dikenakan cukai melainkan beliau menerima pendapatan daripada hasil jualan tersebut di Malaysia.
“Walaupun terdapat pendapatan daripada penjualan itu, ia sepatutnya dikenakan cukai pada tahun taksiran yang berkaitan, iaitu kira-kira 30 tahun lalu,” katanya.
Mahkamah turut mendapati bahawa isu berkaitan dakwaan pertambahan pegangan saham Naimah dalam Ilham Baru Sdn Bhd serta dakwaan pendapatan yang tidak diisytiharkan bagi menyelesaikan pinjaman melibatkan Ilham Baru, Ilham Tower Sdn Bhd dan Welberton Private Equity Corp telah pun diselesaikan pada tahun 2018.
Hakim berkata, Daim sebelum ini telah menjelaskan cukai yang timbul daripada urus niaga tersebut bagi tahun taksiran berkenaan.
“Mahkamah berpendapat bahawa notis taksiran cukai tambahan bagi tahun 2018 yang dikeluarkan terhadap beliau adalah salah di sisi undang-undang kerana ia merupakan cukai berganda,” katanya.
Naimah diwakili peguam S. Saravana Kumar, Amira Azhar dan Dharshini Sharma, manakala LHDN diwakili Peguam Kanan Hasil Marina Ibrahim serta Fatimah Roslan.
Dalam kenyataan kepada media, Naimah menegaskan beliau sentiasa menjadi pembayar cukai yang bertanggungjawab.
“Keputusan ini menunjukkan badan kehakiman merupakan institusi yang boleh diharapkan oleh rakyat apabila agensi kerajaan menyalahgunakan kuasa mereka,” katanya.






