Lima kes rasuah Shamsul Iskandar dipindahkan ke Mahkamah KL

KES rasuah Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Mahkamah Sesyen Shah Alam akan dibicarakan bersama empat lagi pertuduhan rasuah melibatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan untuk memindahkan kes berkenaan dan ia tidak dibantah peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu.

“Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk kes terbabit dibicarakan bersama dan menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen,” kata Suzana.

Terdahulu, Farah Ezlin memohon lanjutan masa untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada mahkamah dan pihak pembelaan kerana pendakwaan perlu melihat dokumen mana yang akan digunakan untuk perbicaraan kelak.

Amer Hamzah berkata, pihaknya tidak membantah permohonan berkenaan, namun memohon agar dokumen yang sudah tersedia diserahkan terlebih dahulu kepada mereka.

“Selepas teliti dokumen, kami akan mempertimbangkan untuk kemuka representasi jika terdapat sebarang kelemahan atau isu berbangkit. Kami juga sedang mengkaji kemungkinan akan memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi kerana terdapat isu undang-undang berkaitan pertuduhan yang akan dicabar,” kata Amer Hamzah.

Pada 4 Disember lepas, Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan bersetuju menerima suapan secara rasuah bagi dirinya sendiri iaitu wang tunai berjumlah RM100,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei Jiann Cheing, 37, sebagai dorongan untuk membantu syarikat-syarikat dimiliki Albert mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun perkara itu tiada kaitan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.

Shamsul Iskandar juga didakwa menerima suapan wang tunai RM40,000 daripada Albert bagi tujuan sama dan dua lagi pertuduhan menerima suapan berbentuk kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama bagi tujuan serupa.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur dan di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024, serta di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 24 November 2023 hingga 5 Mac 2024.

Pada 5 Disember, Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM62,924 daripada Albert di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024.

Wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank seorang wanita bagi tujuan pembayaran sewa sebuah rumah di Kuala Lumpur, dan didakwa sebagai dorongan untuk membantu syarikat-syarikat milik Albert yang berkepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) [Akta 694] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img