KIRA-kira 170 kilometer dari Phom Pehn, terdapat sebuah daerah dikenali sebagai Tboung Khmum, di situlah terdapat sebuah maahad atau pondok pengajian al-Quran yang menjadi kebanggaan umat Islam di Kemboja.
Maahad Tahfiz An Nur yang terletak di Kampung Chraimin, didirikan pada 2010 atas usaha Mudirnya Ustaz Rafath Yusof yang juga Pengerusi Persatuan Pendidikan Islam Kemboja.

Kini maahad itu menjadi salah satu simbol perkembangan Islam di negara itu tambahan pula terbinanya Masjid Nur Istiqamah yang terletak bersebelahan maahad berkenaan.
Masjid itu yang dibina dengan kos hampir RM4 juta itu adalah hasil daripada sumbangan umat Islam dari Malaysia, Singapura dan Brunei.
Pada 3 Februari lalu berlangsung majlis khatam al-Quran 12 pelajar maahad dan pelancaran sasaran 1,000 ekor lembu korban di Kemboja.
Sempena Ramadan, maahad dan masjid itu turut mengadakan pelbagai akiviti bukan sahaja melibatkan pelajar tetapi juga umat Islam di kawasan berkenaan.

Selain itu Masjid Nur Istiqamah menjadi lokasi utama bagi umat Islam menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan termasuklah majlis khatam al-Quran dan himpunan para ulama rantau ini.
Ustaz Rafath memberitahu, dalam puasa ini Maahad Tahfiz An Nur menyediakan buka puasa, makan malam, sahur dan aktiviti sempena Ramadan kepada pelajarnya.

Sehubungan itu beliau berharap umat Islam akan memberi sokongan kepada program yang dianjurkan oleh madrasah sepanjang bulan suci ini.
‘’Mereka boleh menaja buka puasa satu RM1,200 sehari dan mempunyai empat slot bersamaan RM300. Jika ada lebih sumbangan, ia akan dimasukkan ke tabung maahad,’’ katanya.
Umat Islam yang berhajat boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0115641000097691 atas nama Rasidy Sos atau menghubungi Ustaz Rafath di talian +855972255179.


