‘’Malang bawa nama Melayu-Islam tetapi boikot perbahasan penting’’ – Syed Saddiq

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dewan memboikot perbahasan pembentangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Katanya,  urusan Parlimen tidak seharusnya ‘terhenti’ hanya kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berada dalam keadaan tidak sihat.

“Kalau ada fakta yang hendak dibahaskan atau dibongkar, amat malang sekali apabila kita di pihak pembangkang yang paling lantang membawa nama Melayu-Islam memilih untuk memboikot perbahasan mengenai institusi yang sangat penting kepada golongan Melayu-Islam.

“Kita bukan memboikot Perdana Menteri, sebaliknya kita sedang memboikot amanah kita kepada jutaan pendeposit Tabung Haji,” katanya pada sesi perbahasan di Sidang Khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan RCI TH hari ini.

Terdahulu, blok pembangkang kecuali Ahli Parlimen Bersatu bertindak meninggalkan Dewan Rakyat dan tidak mengambil bahagian dalam sesi penerangan berkenaan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul untuk meneruskan sesi itu tanpa kehadiran Perdana Menteri.

Syed Saddiq berkata, sidang Dewan Rakyat juga bukanlah ‘one men show’ atau melibatkan seorang individu semata-mata.

“Yang sakit ialah Perdana Menteri, tetapi kita pula yang tidak menjalankan tugas, sedangkan kita dibayar puluhan ribu ringgit, menerima gaji, pencen dan pelbagai elaun.

“Semua itu adalah untuk kita memainkan peranan sebagai semak dan imbang, tetapi kita gagal melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

“Jelas, RCI TH bukan milik mana-mana Perdana Menteri dan bukan juga milik mana-mana parti.Realitinya, RCI ini adalah milik lebih 10 juta pendeposit umat Islam yang mengharapkan kita sebagai Ahli Parlimen memainkan peranan semak dan imbang serta mencari penyelesaian tuntas supaya nasib dan maruah mereka terbela,” katanya lagi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here