Sindiket dadah ubah taktik selepas kawalan KLIA diperketat

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) percaya sindiket dadah antarabangsa kini  beralih menggunakan pelbagai kaedah dan laluan lain susulan kawalan serta penguatkuasaan yang semakin ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket ini sentiasa mencari ruang dan kelemahan untuk menyeludup dadah termasuk menggunakan laluan darat, laut dan udara.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan di KLIA tidak bermakna sindiket akan menghentikan kegiatan mereka, sebaliknya dijangka mengubah modus operandi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Sindiket ini selalu melihat ruang, menggunakan semua ruang yang ada, pelbagai ruang sama ada menggunakan keldai dadah daripada orang biasa, datang sebagai pelancong, pas lawatan sosial ataupun dia menggunakan mana-mana kakitangan lain.

“Jadi, sindiket ini melihat semua ruang dan menggunakan semua ruang, sama ada jalan darat, jalan laut mahupun jalan udara,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Hussein berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan sindiket menggunakan kaedah lain susulan tumpuan dan kawalan lebih ketat terhadap kegiatan penyeludupan dadah di KLIA.

Perkara itu juga terbongkar menerusi Op Lejogaster selepas polis menggagalkan cubaan sindiket berkenaan menyeludup 270.27 kilogram bunga ganja bernilai RM21.62 juta ke Eropah menerusi serbuan berasingan termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here