Malaysia sasar 250,00 pelajar antarabangsa ikuti pengajian di negara ini menjelang 2030

MALAYSIA  menyasarkan kira-kira 250,000 pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di negara ini menjelang 2030, dengan tumpuan kepada kepelbagaian negara asal pelajar bagi memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pilihan pendidikan tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ketika ini kira-kira 170,000 pelajar antarabangsa dari 180 negara mengikuti pengajian di Malaysia.

“Apabila ada ramai pelajar dari luar negara dan pelbagai negara, maka Malaysia menjadi destinasi yang baik untuk mereka belajar,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata kehadiran pelajar antarabangsa diunjurkan menyumbang sekurang-kurangnya RM16 bilion setahun kepada ekonomi negara.

Zambry berkata unjuran itu belum mengambil kira kesan limpahan daripada pelbagai kegiatan ekonomi lain yang turut menjana pendapatan kepada peniaga.

Sementara itu, ditanya mengenai pemantauan graduan selepas tamat pengajian, Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah mempunyai sistem MyMOHES untuk menjejaki perkembangan pekerjaan mereka dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata sistem yang telah dibangunkan itu membolehkan kementerian menyemak kedudukan serta perkembangan graduan dari semasa ke semasa.

Mengenai iFUTURE, Zambry berkata program itu akan diteruskan sebagai acara bitara KPT bagi membangunkan kepimpinan mahasiswa tempatan dan antarabangsa.

“Interaksi dengan pemimpin negara sepanjang program berkenaan memberi peluang kepada peserta mengasah bakat kepimpinan serta membina pemikiran global, termasuk dalam kalangan mahasiswa Malaysia,” katanya.

iFUTURE 2026 yang berlangsung dari Isnin hingga hari ini bertemakan “Mentakrif Semula Kepimpinan Masa Hadapan Berteraskan Nilai” menghimpunkan 1,231 mahasiswa, terdiri daripada 813 mahasiswa Malaysia dan 418 mahasiswa antarabangsa, dengan penyertaan keseluruhan dari 60 negara.

Program itu dianjurkan KPT menerusi Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here