PEKERJA pembersihan yang mengalami kecederaan parah akibat letupan tong gas memasak di rumahnya di Taman Pagoh Jaya, Muar pada Khamis lalu, meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah hari ini, empat hari selepas kejadian menimpanya.
Allahyarham Fauzisham Darwis, 51, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan disahkan meninggal dunia pada jam 12.15 tengah hari ini.

Berita pemergian Allahyarham Fauzisham dimaklumkan rakan karibnya, Hanafi Taib, 51.
Menurutnya, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terus Panchor, Pagoh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz mengesahkan pihaknya menerima laporan kematian mangsa dan siasatan dijalankan sebagai mati mengejut.
Dalam kejadian jam 8 malam Khamis lalu, Allahyarham melecur teruk apabila gas memasak yang disyaki bocor meletup di rumahnya di Taman Pagoh Jaya.
Ketika kejadian, mangsa berada seorang diri di rumah manakala isterinya keluar membeli barangan.
Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di luar rumah dengan kesan melecur pada muka dan seluruh badan.


