AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menggagalkan cubaan menyeludup dadah bernilai hampir RM7 juta ke negara jiran selepas menahan dua beradik lelaki dalam satu operasi di tenggara perairan Tanjung Piai, Pontian kelmarin.
Pemangku Pengarah Maritim Malaysia Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, kedua-dua beradik berusia 26 dan 40 tahun itu ditahan pada jam 12.36 tengah malam selepas bot fiber yang dinaiki mereka dikesan kira-kira 3.5 batu nautika di perairan berkenaan.
Menurut beliau, operasi dijalankan susulan maklumat risikan yang diterima mengenai kehadiran bot yang mencurigakan, sebelum bot ronda maritim diatur gerak bagi melaksanakan pemantauan dan pengesanan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot menemukan beberapa bungkusan yang disembunyikan di bawah tempat duduk dan longgokan pukat.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu mengandungi dadah disyaki syabu seberat 88.2 kilogram (kg) dianggar bernilai RM4.41 juta serta 30,000 biji pil ekstasi seberat 18 kg bernilai RM2.25 juta,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Maritim Malaysia Johor di Johor Bahru hari ini.
Menurut Kama Azri, siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat dan pasukan detektif kemudian membawa kepada penemuan sebuah Perodua Myvi berwarna kuning di pekarangan sebuah kediaman di Gelang Patah.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 787 kartrij vape mengandungi dadah sintetik baharu dikenali sebagai Piu Piu yang dianggarkan bernilai RM196,750.
Dalam pada itu, beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek berperanan sebagai penghantar (transporter) dadah dan menerima bayaran kira-kira RM16,000, dengan lelaki berusia 26 tahun bertindak sebagai tekong, manakala abangnya sebagai pembantu.
Kama Azri berkata, hasil saringan urin turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula Isnin dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Orang ramai turut digesa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah menerusi talian hotline Pusat Operasi Maritim Malaysia Johor di 013-700 1235 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.






