
TELAH banyak parti pelbagai kaum wujud di Malaysia. Antaranya yang terawal ialah Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM).
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) pula pada awal penubuhannya pernah diterajui gandingan tiga tokoh utama, iaitu Syed Hussein Alatas, Lim Chong Eu dan Dominic Puthucheary. Akhirnya, PGRM muncul sebagai parti alternatif kepada MCA dan DAP.
Kemudian lahir pula Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang pada peringkat awal diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Dr Chandra Muzaffar, Tian Chua, Ng Lum Yong serta ramai tokoh daripada pelbagai kaum. Kini, PKR juga merupakan sebuah parti pelbagai kaum.
Terkini, parti Wawasan dan Bersama turut cuba mencerminkan identiti sebagai parti pelbagai kaum.
Ya, sejak awal penubuhannya, DAP sememangnya sebuah parti pelbagai kaum. Allahyarham Zulkifli Mohd Noor dan Allahyarham Ahmad Nor antara tokoh Melayu yang pernah diberi tempat dalam barisan kepimpinan DAP.
Jika orang Melayu memilih untuk menyertai parti pelbagai kaum dan menolak UMNO atau PAS, sebenarnya banyak pilihan tersedia untuk mereka. Jadi, apakah kelebihan DAP berbanding parti-parti berkenaan jika benar orang Melayu semakin liberal dalam berpolitik dan mahu menolak parti yang berasaskan kaum?
Mengapa Setiausaha Agung DAP perlu berulang kali menyebut dalam ucapannya bahawa DAP ialah parti pelbagai kaum serta memperjuangkan kepentingan dan kesejahteraan semua kaum?
Mengapa tidak sahaja ditegaskan bahawa perjuangan DAP adalah untuk memastikan keadilan dan kesaksamaan kepada semua?
Mungkin pemimpin itu sendiri berasa serba salah. Dalam perjuangannya, beliau tahu dan sedar bahawa DAP masih dilihat oleh sebahagian besar orang Melayu sebagai sebuah parti yang cauvinis. Namun, beliau enggan mengakuinya.
Sebab itu dalam ucapannya, beliau terpaksa berulang kali mencuit naratif yang cuba dibawa bagi meyakinkan orang Melayu bahawa DAP ialah parti yang mesra Melayu atau Malay-friendly party.
Para pemimpin DAP sedar bahawa jika orang Melayu terus-menerus menolak parti itu, lambat-laun DAP akan menjadi semakin kurang relevan dalam arena politik negara.
Ini kerana faktor demografi warga Malaysia semakin tidak memihak kepada parti yang gagal mendapatkan sokongan lebih besar daripada orang Melayu. Tetapi persoalannya, mengapa sekarang naratif ini begitu bersungguh-sungguh dipromosikan dan dijual kepada orang Melayu?
Mengapa tiada suara-suara Melayu yang sudah berada dalam DAP tampil dengan lebih lantang, berkongsi pengalaman dan menceritakan sisi positif mereka sepanjang berada dalam parti itu?DAP sebenarnya mempunyai jawapan kepada semua persoalan tersebut.
DAP juga tahu mengapa mereka terpaksa memilih untuk kekal bersama kerajaan yang ada, hatta terpaksa ‘tidur sebantal’ dengan BN yang suatu ketika dahulu begitu dicemburui dan dikritik. Namun, soalan pokok yang masih belum terjawab ialah mengapa pucuk pimpinan DAP sendiri enggan memelayukan DAP dalam erti kata yang sebenarnya.
Buat masa ini, hanya segelintir saki-baki orang Melayu yang benar-benar dekat dengan DAP. Rata-rata orang Melayu masih melihat DAP dengan stigma yang begitu kuat dan mendalam.
Selagi stigma itu masih terpahat pada DAP, persidangan, perhimpunan atau pelbagai kempen yang menampilkan DAP sebagai parti untuk semua kaum tidak semestinya mampu mengubah persepsi orang Melayu.
Begitu juga dengan naratif bahawa DAP memperjuangkan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Mesej itu mungkin sampai kepada sebahagian masyarakat, tetapi belum tentu berjaya menembusi tembok persepsi orang Melayu yang telah terbina sejak sekian lama.
Persoalannya bukan semata-mata bagaimana DAP mahu menjual naratif bahawa parti itu mesra Melayu.
Persoalan lebih besar ialah sama ada DAP benar-benar bersedia melakukan perubahan yang cukup besar sehingga orang Melayu tidak lagi melihatnya sekadar sebagai sebuah parti yang mahu mendapatkan undi Melayu.
Selagi persoalan itu tidak terjawab, selagi itulah usaha untuk meyakinkan orang Melayu bahawa DAP benar-benar sudah berubah akan berdepan jalan yang sukar. Kerana akhirnya, politik bukan hanya soal apa yang ingin dikatakan oleh sesebuah parti. Politik juga soal apa yang dipercayai oleh rakyat.
*Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)





