SEORANG wanita berusia 36 tahun yang ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan hutang duit kutu akan didakwa di Mahkamah Jitra, esok atas kesalahan menipu.
Wanita terbabit yang direman empat hari sejak Khamis lalu sebelum disambung dua hari lagi, disyaki menipu selepas polis menerima 35 laporan daripada mangsa berusia antara 23 hingga 53 tahun.
Kerugian keseluruhan yang direkodkan setakat ini dianggarkan berjumlah RM1.7 juta, lapor Buletin TV3.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, wanita terbabit akan didakwa di Mahkamah Jitra esok, manakala suaminya yang berusia 39 tahun akan dipanggil sebagai saksi.
“Suspek wanita akan didakwa esok, manakala suaminya akan dipanggil sebagai saksi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, tiga beranak dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu selepas keluar dari rumah mereka di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam.
Berikutan itu, bapa wanita terbabit yang berusia 62 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam pada Isnin minggu lalu selepas gagal menghubungi anak perempuannya, menantu serta cucu lelakinya berusia sembilan tahun.
Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu kira-kira jam 1.50 pagi Khamis lalu.
Pasangan berkenaan kemudian direman empat hari sebelum tempoh reman disambung dua hari lagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.





