
PUSAT Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berpotensi terus diperkasa sebagai platform memperkukuh literasi digital masyarakat, khususnya golongan luar bandar dan komuniti yang memerlukan akses serta bimbingan dalam penggunaan teknologi.
Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Suria Hani A Rahman berkata, peranan NADI semakin penting selari dengan peningkatan kebergantungan masyarakat terhadap teknologi digital.
Menurut beliau, usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan kemudahan serta ruang pembelajaran menerusi NADI membantu memastikan manfaat pembangunan digital dapat sampai kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

“NADI bukan sekadar tempat untuk mendapatkan akses internet, tetapi boleh menjadi pusat pembelajaran dan perkongsian maklumat kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui UtusanMelayuPlus baru-baru ini.
Beliau berkata, pelajar, warga emas, peniaga kecil dan komuniti setempat boleh memanfaatkan NADI untuk meningkatkan kemahiran digital.

Antara aspek yang boleh diberi perhatian termasuk penggunaan aplikasi, pencarian maklumat, keselamatan dalam talian, pendidikan dan urusan perkhidmatan digital.
Katanya, NADI juga berpotensi membantu masyarakat memanfaatkan teknologi untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian, di samping menyokong pembelajaran dan peningkatan kemahiran.

Namun, beliau menegaskan bahawa akses perlu disertai literasi digital supaya masyarakat dapat menggunakan teknologi secara bertanggungjawab.
Dalam keadaan masyarakat menerima maklumat daripada pelbagai sumber, beliau berkata, pengguna perlu mempunyai keupayaan menilai kesahihan maklumat serta menggunakannya dengan betul.

Usaha meningkatkan kesedaran mengenai NADI juga boleh dilaksanakan secara berterusan melalui sekolah, komuniti, persatuan penduduk dan institusi pendidikan.
Menurut Dr Suria Hani, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi boleh diperluas bagi membolehkan kepakaran akademik dimanfaatkan oleh masyarakat.
“Ilmu yang ada di universiti tidak seharusnya kekal dalam lingkungan akademik sahaja. Ia boleh dikongsi dengan masyarakat melalui program komuniti yang sesuai,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan kemudahan dan capaian internet di NADI diselenggara dengan baik supaya pusat berkenaan terus relevan dengan keperluan masyarakat.
Menurutnya, NADI mempunyai potensi untuk berkembang daripada sekadar tempat mendapatkan akses internet kepada pusat pembangunan pengetahuan, kemahiran dan kesejahteraan digital masyarakat.





