NAHAS yang meragut nyawa seorang pegawai polis dan seorang guru di Kilometer 29, Jalan Kuala Kangsar-Baling berdekatan Restoran Tasik Raban di Lenggong semalam, dipercayai berpunca daripada kenderaan dipandu pegawai polis berkenaan yang hilang kawalan ketika cuba memotong.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, siasatan awal mendapati Toyota Vios dipandu pegawai polis berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong lalu memasuki laluan bertentangan dalam perjalanannya menghala ke arah Kuala Kangsar.
“Keadaan itu menyebabkan Toyota Vios itu bertembung dengan Honda Odyssey yang dinaiki enam guru wanita yang dalam perjalanan menghala ke Gerik,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Ketika kejadian, Honda Odyssey dinaiki enam guru berusia antara 29 hingga 55 tahun itu dipandu seorang guru wanita berumur 44 tahun, sementara guru yang meninggal dunia adalah seorang daripada lima penumpang MPV terbabit yang berada di tempat duduk belakang.
Abdul Samad berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Nahas mengorbankan seorang guru dari Kolej Vokasional Gerik, Zuraida Abu Bakar, 47, dan Inspektor Melvindar Singh Gamum Singh, 41, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu.






