KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengadakan sidang media khas esok bagi memberi pencerahan berhubung isu tiga gajah Asia dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat yang mendapat perhatian umum.
Sesi sidang media itu dijadualkan berlangsung jam 1.30 petang di Foyer NRES di Aras 9, Kompleks F11, Presint 1, Putrajaya.
Menurut jemputan rasmi diedarkan kepada media, sesi berkenaan bertujuan menjelaskan secara terperinci isu melibatkan gajah di bawah Program Konservasi Gajah Malaysia yang kini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Media pada Jumaat lalu melaporkan, sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi tempoh tiga hari untuk Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup untuk mengeluarkan kenyataan membawa pulang tiga ekor gajah Asia yang kini ditempatkan di sebuah zoo di Jepun.
Pengerusi Seketeriat Bahana Kesetiaan Negara (SBKB), Datuk S Kalai menegaskan, tiga gajah tersebut dipindahkan ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun pada 10 Mac lalu.
Menurutnya, dokumen kesihatan, sejarah dan asal-usul ketiga-tiga gajah berkenaan menunjukkan haiwan itu tinggal di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah sejak kecil, bukan seperti didakwa berasal dari Zoo Taiping, Perak.
Penghantaran itu adalah sebahagian daripada kerjasama dua hala yang dirancang rapi sejak 2022 dan diselaraskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Amoi berusia sembilan tahun, Dara (14) dan Kelat (20) dipindahkan sebagai sebahagian daripada Program Konservasi Gajah Malaysia bertujuan untuk pembiakan dan penyelidikan.
Awal bulan lalu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Ng Shy Ching berkata, kesemua gajah berkenaan kekal sebagai milik Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dan tidak melibatkan sebarang pemindahan hak milik atau urus niaga jual beli.
Bagaimanapun, pemindahan Dara, Amoi dan Kelat ke zoo terbabit menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya pencinta haiwan hingga petisyen membantah penghantaran tiga gajah itu mencecah lebih 100,000 tanda tangan.
Semakan di laman Care2 Petition Site mendapati petisyen bertajuk ‘Urgent Concern About The Transfer of Malaysian Elephants Dara, Amoi and Kelat to Tennoji Zoo in Osaka’ merekodkan 137,514 tandatangan setakat Rabu lalu.


