BELUM sempat memulakan kehidupan baharu selepas dibebaskan dari Sekolah Henry Gurney, seorang pemuda berusia 21 tahun kembali berdepan pertuduhan apabila didakwa melakukan amang seksual fizikal dan cubaan merogol adik perempuannya.
Tertuduh yang juga anak sulung daripada empat beradik didakwa melakukan kesalahan terhadap adiknya berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Umbai, Merlimau, Jasin.
Tertuduh yang tidak bekerja mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama, lapor Harian Metro.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku kira-kira jam 1 tengah hari pada 6 Jun lalu dan jam 9.30 malam pada 20 Ogos lalu di lokasi sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Difahamkan, tertuduh sebelum ini pernah menjalani hukuman lebih dua tahun di Sekolah Henry Gurney selepas disabitkan kesalahan merogol adiknya yang ketika itu berusia 15 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan selain memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu atau mendekati mangsa serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan baru sahaja keluar dari pusat pemulihan selain mahu membantu meningkatkan ekonomi keluarga.
Hakim Raja Noor Adilla kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta bersetuju dengan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 29 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.





