Pas mahu tumpu pilihan raya dahulu bukan soal siapa PM – Tuan Ibrahim

TINDAKAN parti Bersatu menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri parti itu pada Ahad lalu mula ‘makan diri’ apabila Pas hari ini menegaskan mahu menumpukan perhatian kepada memenangi pilihan raya terlebih dahulu.

 Timbalan Presiden Pas, DatukSri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan Pas lebih menumpukan usaha gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berbanding menamakan calon Perdana Menteri (PM).

Katanya, walaupun terdapat desakan dan persoalan mengenai siapa calon Perdana Menteri berpendirian sebarang keputusan berkaitan dasar termasuk calon jawatan tertinggi negara akan dibincangkan bersama dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).

“Bagi kami, lebih penting fokus untuk menang pilihan raya terlebih dahulu. Soal calon Perdana Menteri akan diputuskan secara bersama dalam mesyuarat PN,” katanya pada  sidang media sempena Muktamar Pas di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar hari ini.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu ‘secara lembut’ dilihat memberi mesej kepada Bersatu supaya jangan terlalu ghairah mahu menamakan calon Perdana Menteri sedangkan tumpuan patut diberikan kepada usaha menang pilihan raya terlebih dahulu.

Mengulas lanjut,  Pas mempunyai ramai tokoh berwibawa untuk diketengahkan, namun parti itu lebih mengutamakan kemenangan kerusi berbanding menonjolkan individu tertentu.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mendedahkan terdapat beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah mengemukakan permohonan untuk menyertai PN atau menjadi rakan sekutu (Friends of PN).

Katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang, perkara itu sedang diteliti satu persatu oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali  sebelum dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi.

Tuan Ibrahim turut menegaskan, walaupun MIC ke muktamar Pas kali ini namun terdapat pihak tertentu mungkin menasihatkan agar wakil berkenaan tidak hadir.

‘’Bagaimanapun persepsi Pas parti ekstrem semakin berubah apabila masyarakat bukan Islam menilai sendiri pentadbiran Pas di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Pas bukan parti yang menolak bukan Melayu.

”Kita buktikan dengan pentadbiran di negeri-negeri yang diterajui. Keyakinan mereka makin bertambah. Saya optimis sokongan pengundi bandar, termasuk bukan Melayu, akan terus meningkat menjelang PRU16,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img