SEORANG wanita kerugian RM1.39 juta selepas telefon bimbitnya tiba-tiba tidak berfungsi sebaik menekan pautan iklan jualan kek di media sosial.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa yang juga wanita tempatan berusia 43 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa melayari satu iklan jualan kek di media sosial sebelum menekan pautan yang disediakan bagi melihat menu dan membuat pesanan.
“Selepas menekan pautan berkenaan, skrin telefon bimbit mangsa tiba-tiba menjadi gelap dan tidak lagi berfungsi.
“Pada kira-kira jam 10 pagi semalam, mangsa membuat semakan dengan pihak bank sebelum mendapati berlaku transaksi pemindahan wang tanpa pengetahuannya daripada dua akaun bank milik syarikatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Farhan berkata, siasatan awal mendapati sebanyak 19 transaksi dilakukan ke 15 akaun bank berbeza pada 14 Julai lalu.
“Kesemua transaksi itu membabitkan jumlah keseluruhan RM1,389,132,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.
Katanya, jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda maksimum RM150,000 atau dipenjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menekan pautan yang meragukan, hanya memuat turun aplikasi daripada platform rasmi serta tidak berkongsi kata laluan, nombor PIN atau kod pengesahan sekali guna (OTP) dengan mana-mana pihak bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah siber.






