Pegawai kastam dibunuh suami: Abang terkilan cara adik bongsu `pergi’

SEORANG lelaki tidak menyangka adik bongsunya akan meninggal dunia angkara suaminya sendiri, apatah lagi ketika pasangan itu dikatakan dalam proses penceraian.

Norhazwani Ibrahim, 35, dipercayai dibunuh suaminya di sebuah rumah kakitangan kerajaan di Jalan Kuarters KLIA, Nilai malam tadi, sekali gus meninggalkan kesedihan mendalam buat seluruh ahli keluarga yang tidak menyangka tragedi itu akan berlaku.

Abang sulung mangsa, Amran Ibrahim, 59, berkata, dia menerima berita mengenai kejadian tersebut sekitar jam 7.30 malam selepas dihubungi adik lelakinya.

AMRAN Ibrahim

Menurut Amran, adiknya memaklumkan bahawa suspek sendiri menghubunginya dan mengaku telah membunuh isterinya sebelum menyatakan hasrat untuk menyerah diri kepada pihak polis.

Ketika itu, Amran berada di kediamannya di Pinggiran Batu Caves, Selangor. Dia kemudian segera menghubungi pihak polis sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama saudara-mara lain.

“Memang sudah sampai masa dia… tetapi cara dia ‘pergi’ itu buatkan kami terkilan lebih-lebih lagi pelakunya adalah suaminya sendiri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor BH.

Menurut Amran, Norhazwani sudah tujuh tahun berkahwin dan dikurniakan dua anak berusia lima dan enam tahun yang kini dijaga oleh seorang lagi adik perempuannya di Kelantan.

Amran berkata, adik bongsunya yang mesra dipanggil Wani atau Mok Su dalam kalangan keluarga merupakan seorang yang ceria dan disenangi oleh ahli keluarga serta rakan sekerja.

“Kami ada sembilan adik-beradik dan saya adalah anak sulung. Kali terakhir jumpa dengannya kira-kira tujuh bulan lalu, namun kami ada berhubung melalui WhatsApp,” katanya.

Tambahnya, mangsa lebih rapat dengan adik kelapan mereka yang menetap di Kelantan. Malah, adik mereka itu sempat berkunjung ke rumah Norhazwani pada Rabu lalu dan bermalam di situ kerana mempunyai urusan di kawasan berkenaan.

Dalam pertemuan tersebut, adik kelapan mereka sempat berpesan kepada Norhazwani supaya menjaga rumah tangganya dengan baik. Namun, tiada siapa menyangka pesanan itu menjadi antara kenangan terakhir sebelum tragedi menimpa wanita berkenaan.

“Dia juga sempat berpesan supaya jaga rumah tangga elok-elok. Tidak sangka malam ini terjadi kejadian yang memang amat mengejutkan kami semua,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Amran memaklumkan bahawa suspek dipercayai baru dibebaskan dari penjara beberapa hari lalu berkaitan kesalahan dadah. Pasangan itu juga difahamkan sedang dalam proses perceraian.

Bagi keluarga, Norhazwani dikenang sebagai seorang yang mudah mesra dan membawa keceriaan kepada orang di sekelilingnya. Pemergiannya dalam keadaan tragis pastinya meninggalkan kesan mendalam buat mereka yang menyayanginya.

“Buat masa ini, kami kena selesaikan urusan bedah siasat di Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban terlebih dahulu yang dijangka dijalankan pada Sabtu,” katanya.

Menurut Amran, pihak majikan mangsa difahamkan akan membantu menguruskan perjalanan membawa pulang jenazah ke Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan untuk dikebumikan selepas urusan berkaitan selesai.

Dia akan menguruskan segala urusan di sekitar Lembah Klang bersama saudara-mara yang lain, manakala ahli keluarga yang berada di Kelantan dijangka menunggu kepulangan jenazah di kampung halaman.

Terdahulu media melaporkan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan kejadian berlaku dan memaklumkan menerima maklumat sekitar jam 8.30 malam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan maklumat lanjut berhubung kes akan dikeluarkan selepas siasatan di tempat kejadian selesai sepenuhnya.

Dalam pada itu, rakan sekerja Allahyarham yang enggan dikenali turut meluahkan rasa terkejut atas kejadian itu.

“Saya nak pergi kedai, tapi pelik tengok polis ramai di rumah arwah. Saya ingatkan kes kematian biasa, rupa-rupanya dia mati dibunuh.

“Kami pun tak tahu masalah arwah dengan suaminya kerana di tempat kerja dia biasa saja,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here