PEGAWAI komando VAT69 yang meninggal dunia ketika menjalani latihan menyelam di Sabah semalam, Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin sempat memberi pesanan terakhir kepada anak sulungnya.
‘Jaga adik-adik, jaga mak,’ itu pesanan terakhir Allahyarham kepada anak sulungnya, Zharif Iman, 19, sebelum berangkat ke Sabah untuk menjalani latihan menyelam.

Menurut Zharif Iman, pesanan itu bukan sekadar nasihat seorang ayah, tetapi amanah besar yang kini dipikulnya untuk menjaga dua adiknya, Zhakil Iman, 18, dan Merli Dhiya, 11, serta ibu, Merli Zaifa Abdul Sani, 44.
Kata pelajar tingkatan enam itu, dua minggu sebelum berangkat ke Sabah, dia bersama arwah sempat berbual panjang dan berkongsi cerita yang tanpa disedari menjadi kenangan terakhir mereka berdua.
Sepanjang berada di Sabah, katanya, mereka masih berhubung, sama ada melalui panggilan telefon atau mesej.
“Kali terakhir saya hubungi ayah malam Rabu, lebih kurang jam 11 malam. Ayah tanya ‘nak duit ke?’ Lepas tu tiba-tiba ayah bagi RM50, dia kata untuk belanja sekolah. Itu yang terakhir,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek, Tanjung Rambutan di Ipoh hari ini, lapor Sinar Harian.
Khairil Azhar, 45, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika sedang mengikuti latihan di perairan berhampiran Pos Gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pulau Mataking, Semporna Sabah semalam.
Zharif Iman berkata, berita pemergian ayahnya diterima ketika dia sedang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi kertas Bahasa Melayu dan Pengajian Perniagaan.
“Saya terima berita itu lebih kurang jam 12 tengah hari. Ibu saudara yang beritahu. Kawan-kawan dan cikgu sebenarnya nak saya habiskan peperiksaan dulu.
“Memang saya tak kuat… tapi alhamdulillah, dengan sokongan cikgu dan keluarga, saya teruskan juga peperiksaan,” katanya.
Remaja itu turut berkongsi impiannya untuk menyertai pasukan beruniform, khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), mengikut jejak arwah ayahnya dan ibu yang bertugas sebagai anggota polis.
“Ayah pernah cakap, kalau nak masuk pasukan uniform, kena kuat, mental kena kuat. Saya memang nak jadi juruterbang. Itu impian saya…nak tunjuk dekat ayah. Tapi saya tak sempat,” katanya.
Dalam suasana pilu itu, Zharif Iman berjaya menunaikan satu hasrat terakhir ayahnya iaitu untuk mengimamkan solat jenazah.
“Memang ayah pernah bergurau, dia cakap kalau ayah tak ada, kalau boleh solatkan ayah. Hari ini, saya tunaikan hasrat ayah,” katanya.
Jenazah Khairil Azhar selamat dikebumikan dengan istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek, Tanjung Rambutan sekitar jam 6.10 petang hari ini dihadiri lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak-saudara, penduduk kampung dan rakan sepasukan.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh; Timbalan Pengarah KDNKA (Kepolisan Am/Krisis Bencana), Datuk MV Srikumar; Komander Unit Tindakan Khas (UTK) Senior Asisten Komisioner Hisham Mahmood dan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof.
Semalam media melaporkan, Khairil Azhar tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, kira-kira jam 10.25 pagi.
Pegawai polis itu kemudian diberikan bantuan kecemasan dan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.


