Pelajar IKM maut, lima lagi parah dalam nahas dua kereta di Kulim

HASRAT tiga pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) untuk berkelah di Sungai Sedim tidak kesampaian apabila seorang daripada mereka maut selepas kereta Perodua Kelisa dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Selarong Panjang-Sedim, di Kulim, Kedah hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, mangsa yang maut ialah Muhammad Husni Kamal Amir, 23, beralamat di Sungai Petani, Kedah manakala dua lagi rakannya parah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 3.30 petang.

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita berusia 33 tahun bersama dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan 10 tahun menghala ke Sungai Karangan bertembung dengan kereta Perodua Kelisa dinaiki tiga pelajar terbabit.

“Penumpang hadapan kereta Perodua Kelisa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu berusia 22 tahun dan penumpang di tempat duduk belakang berusia 23 tahun cedera parah.

“Mereka turut bersama beberapa lagi rakan yang menaiki kenderaan lain dalam perjalanan untuk mandi di Sungai Sedim,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Tengku Mohd Faisal berkata, siasatan polis mendapati kereta Perodua Kelisa terbabit hilang kawalan akibat termasuk ke bahu jalan yang tidak berturap sebelum bertembung dengan kereta Perodua Myvi.

“Pemandu kereta Perodua Myvi itu parah di kepala dan patah kaki manakala dua kanak-kanak terbabit masing-masing patah kaki dan tangan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img