SEORANG pekerja pemasaran bengkel kenderaan didakwa di Mahkamah Majistret Kulim hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang bapa dan dua anak kecilnya, 18 Januari lalu.
Tertuduh, Mohamad Aqlan Marwan Mohamad Toha, 27, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa memandu Proton S70 secara melulu sehingga melanggar Perodua Viva dan menyebabkan kematian Muhammad Syazwan Mohd Suroddin, 25, serta dua anaknya, Muhammad Aqeel Afnan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2.
Kejadian berlaku di Jalan Kulim–Mahang di Kulim, Kedah kira-kira jam 5 petang pada 18 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun serta denda maksimum RM50,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nursalwati Wan Kamarul Ariffin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Datuk Kamal Pasha Jamal.
Pendakwaan kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 terhadap tertuduh, namun peguamnya memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh hanya berpendapatan RM3,000 sebulan dan menanggung isteri yang tidak bekerja serta anak berusia dua tahun.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan sebutan semula kes pada 3 Mac depan bagi proses serahan dokumen.
Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung dan pasport antarabangsanya diserah kepada mahkamah sehingga kes berkenaan selesai dibicarakan.
Tertuduh membayar wang jaminan itu.
Media sebelum ini melaporkan pekerja kilang, Muhammad Syazwan serta dua anaknya meninggal dunia di tempat kejadian selepas terbabit dalam kemalangan.
Siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca Proton S70 hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung Perodua Viva, menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas ke dalam parit sebelah kiri sebelum Proton S70 terbakar.
Kejadian berlaku ketika Muhammad Syazwan dan dua anaknya dalam perjalanan untuk menjemput isterinya di tempat kerja di Sungai Ular sebelum kemalangan berlaku.


