Beban kos kesihatan,ekonomi akibat vape kira-kira RM369 juta

BEBAN kos  kesihatan dan ekonomi akibat penyakit berkaitan penggunaan vape dianggarkan mencecah kira-kira RM369 juta setahun, melebihi kutipan hasil duti eksais daripada produk vape, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun, KKM memaklumkan, kutipan hasil duti eksais daripada produk vape bukan justifikasi untuk membenarkan penjualannya di pasaran.

“Bagi tempoh pelaksanaan duti eksais terhadap produk rokok elektronik atau vape, jumlah kutipan yang direkodkan sebanyak RM80.32 juta pada 2023, meningkat kepada RM111.14 juta pada 2024 dan RM118.93 juta pada 2025.

“Bagi tempoh 1 Jan hingga 11 Jun tahun ini, kutipan direkodkan bernilai RM44.11 juta, menjadikan jumlah keseluruhan kutipan duti eksais sebanyak RM354.51 juta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Ia menjawab soalan Senator Robert Lau berhubung cadangan pengharaman, jumlah kutipan hasil cukai dan justifikasi kebenaran penjualan vape berikutan risiko tinggi kesihatan.

KKM berkata, ia sedang memperkukuh kawalan terhadap produk berisiko tinggi, termasuk meneliti cadangan mengharamkan vape jenis berbotol susulan risiko tinggi dicampur dadah dan bahan terlarang.

Menurutnya, sebarang keputusan rasmi termasuk cadangan pengharaman lebih menyeluruh akan terus dinilai berdasarkan bukti saintifik, data semasa dan kepentingan kesihatan awam.

Buat masa ini, katanya, kerajaan memberikan tumpuan penuh kepada pelaksanaan dan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang menyediakan kerangka kawal selia komprehensif terhadap semua produk merokok, termasuk vape.

KKM memaklumkan keutamaan diberikan kepada penguatkuasaan Akta 852, khusus melindungi orang belum dewasa (OBD), iaitu individu bawah 18 tahun.

“Hal ini selaras peruntukan Seksyen 13(1) yang melarang penjualan produk merokok kepada OBD, Seksyen 13(3) melarang pembelian oleh OBD serta Seksyen 17 yang melarang penggunaan mana-mana produk merokok oleh golongan berkenaan.”

Jelasnya, pendekatan kawal selia tegas menerusi Akta 852 bertujuan mengurangkan akses serta penggunaan produk merokok bagi memastikan perlindungan kesihatan awam, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img