SEORANG pelajar perempuan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Machang, Kelantan maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan di dalam kawasan kampus itu petang semalam.
Mangsa yang berusia 19 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas terjatuh di atas pembahagi jalan.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada orang awam pada jam 6.40 petang.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku pada jam 6.20 petang ketika penunggang motosikal dari arah pintu utama universiti itu dalam perjalanan pulang ke asrama.
“Setibanya di lokasi kejadian, ketika motosikal sedang mendaki bukit, seorang pejalan kaki dipercayai telah melintas jalan secara mengejut yang menyebabkan penunggang motosikal mengelak ke kiri sebelum berlaku perlanggaran,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di atas pembahagi jalan dan cedera pada bahagian kepala.
Ahmad Shafiki berkata, mayat pelajar itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Machang untuk bedah siasat manakala kes ini disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, katanya diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Khairulanwar Adam melalui talian 011-1008 5165 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang 09-975 1222.


