SEORANG pelajar politeknik maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan tiga lagi motosikal di Jalan Changlun-Kuala Perlis, Kampung Banat Arau, hari ini .
Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata lelaki berusia 19 tahun itu yang cedera pada kepala dan patah kaki kanan disahkan meninggal dunia pada 7.38 pagi ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.
Beliau berkata anggota kaunter pertanyaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Arau menerima maklumat mengenai kejadian pada 2.10 pagi.
“Tiga lagi penunggang motosikal kesemuanya lelaki berusia 20 tahun termasuk seorang pelajar GiatMARA mengalami kecederaan. Mereka kini dirawat di hospital sama,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Mohsin berkata berdasarkan siasatan, kemalangan berlaku apabila kesemua mangsa yang menunggang motosikal dari Arau menghala ke Kangar itu telah bergesel semasa sendiri hingga menyebabkan pelanggaran.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






