SEORANG maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di hadapan Yu Lung San Tian En Temple, Batu 15 di Jalan Sibu-Bintulu petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.46 petang itu, kemalangan membabitkan dua Proton Saga, masing-masing model MC3 dan FLX serta sebuah lori.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya di lokasi, bomba mendapati seorang mangsa masih tersepit di dalam Proton Saga FLX sebelum kerja-kerja menyelamat dijalankan menggunakan peralatan dan penyusung bagi mengeluarkan mangsa.
“Kemalangan itu membabitkan sembilan mangsa keseluruhannya. Empat individu yang menaiki Proton Saga MC3 terselamat tanpa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, lima mangsa yang berada di dalam Proton Saga FLX pula terdiri daripada tiga individu yang cedera dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM), seorang lagi terselamat tanpa kecederaan, manakala seorang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan KKM.
Setakat ini, identiti mangsa yang maut serta punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.






