Pelajar tingkatan satu maut dilanggar kereta dalam kawasan sekolah

SEORANG pelajar perempuan tingkatan satu maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan dalam kawasan sekolah di Kota Bharu petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, meninggal dunia berhampiran surau sekolah akibat kecederaan parah.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang memakai kasut selepas selesai solat Zuhur berjemaah sebelum dia tiba-tiba dilanggar sebuah kereta jenis Honda.

Bapa mangsa, Mohd Azaudin Abdullah, 43, berkata, mangsa merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan dua anaknya bersekolah di sekolah menengah itu.

Katanya, ketika kejadian dia berada di tempat kerja sebelum dihubungi adik iparnya sambil menangis dan meminta dia ke sekolah berkenaan.

“Saya terus ke sekolah berkenaan dan ketika itu melihat anak saya sudah terbaring kaku dan ditempatkan di surau. Saya sangat terkejut dan tergamam melihat anak saya sudah meninggal dunia.

“Pihak sekolah juga memaklumkan anak saya sudah meninggal dunia. Namun saya tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah berhubung kejadian lanjut menimpa anak saya.

“Arwah adalah anak ketiga dan kesemua anak tinggal bersama dengan adik ipar selepas kematian isteri saya sejak lima tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kota Bharu hari ini, lapor BH.

Mohd Azaudin berkata, sejak kematian isteri, dia akan berjumpa dengan anaknya dua kali seminggu di rumah adik iparnya.

“Jenazah anak saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Mas selepas selesai bedah siasat,” katanya.

Ibu saudara mangsa, Zuraifah Mohd Noor, 43, pula berkata, ketika kejadian dia berada di luar pekarangan sekolah untuk mengambil mangsa dari sekolah.

“Namun saya pelik apabila Fatimatul Hawa tidak keluar berbanding kebiasaan dia akan keluar lebih awal.

“Tiba-tiba anak saudara saya berusia 15 tahun yang bersekolah di sekolah sama berlari ke arah saya memaklumkan adiknya sudah tiada.

“Saya kemudiannya terus bergegas menghala ke surau dan ketika itu jasad anak buah saya sudah ditutup dengan kain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, maklumat lanjut akan dikeluarkan kemudian.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img