POLIS menahan seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire bagi membantu siasatan rakaman tular kenderaan itu melanggar seorang penunggang motosikal sehingga cedera sebelum terbabas ke dalam longkang di Taman Johor Jaya di Pasir Gudang, Johor kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Vikra Mathitthan berkata, pemandu lelaki tempatan berusia 18 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.40 malam tadi hasil maklumat diterima pihaknya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku petang kelmarin apabila penunggang motosikal terbabit iaitu seorang lelaki dikatakan menghalang laluan MPV itu.
“Pemandu MPV kemudian membunyikan hon sehingga berlaku perselisihan faham dan pergaduhan antara pemandu dan penunggang tersebut.
“Pemandu MPV itu kemudian telah melanggar penunggang motosikal sehingga jatuh, menyebabkan mangsa cedera selain kenderaan MPV, motosikal serta sebuah kereta yang diletakkan berhampiran mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Vikra, penunggang motosikal itu kini dirawat di wad Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru akibat kecederaan ringan di beberapa bahagian badan selain pendarahan di kepala.
Tambahnya, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan isterinya yang merupakan pembonceng motosikal turut mengalami kecederaan ringan selepas diseret dalam kejadian itu.
Beliau memberitahu, suspek kini direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307, 506, 160 dan 182 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif dadah.
“Siasatan turut dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam kerana suspek didapati memandu secara melulu selain membuat laporan polis palsu berhubung kejadian tersebut,” katanya.
Sebelum itu, tular video dalam media sosial memaparkan pemandu MPV jenis Toyota Vellfire berwarna hitam merempuh penunggang motosikal sehingga terjatuh.
Dalam rakaman itu, turut kelihatan seorang wanita cuba menghalang tindakan pemandu berkenaan namun MPV itu mengundur sehingga terbabas ke dalam longkang.


