SEORANG jurumekap dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan berpakaian dan berkelakuan seperti wanita.
Tertuduh, Roslan Mohd Yusof, 47, atau dikenali sebagai ‘Cik Ros’ mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mat Ropi Busu.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memakai pakaian wanita dan berlagak seperti wanita di sebuah hotel di Jalan Sultan Ismail pada jam 2.25 pagi, 21 November tahun lalu.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai pakaian dipakai sewaktu ditahan, tertuduh memaklumkan dia hanya memakai baju tidur.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda antara RM1,000 hingga RM3,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM800 dan menetapkan 27 Julai depan bagi sebutan semula kes.


