Miliki 13 kelongsong peluru, pembantu kedai didenda RM3,500

SEORANG pembantu kedai memproses ayam didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 13 butir kelongsong peluru tanpa lesen.

Tertuduh, Mohamad Faisal Farhan Mat Sairuzi, 33, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Rais Imran Hamid.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki 13 butir kelongsong peluru tanpa lesen atau permit senjata api di sebuah rumah di Kampung Paloh Pintu Geng, Kota Bharu pada 11 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nadzir Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Roshayati Hassan.

Terdahulu, pihak pembelaan memohon hukuman denda minimum dengan alasan tertuduh telah insaf serta hanya bekerja sebagai pembantu kedai ayam proses dengan pendapatan tidak menentu.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img