SEORANG pembantu rumah warga Indonesia dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tiga bulan sehingga lemas di kolam renang sebuah kondominium, bulan lalu.
Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Wahyuni Tanjung, 44, dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa mulai tarikh dia ditahan pada 29 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan pemeliharaan terhadap mangsa didakwa melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kolam renang dewasa sebuah kondominium dalam daerah Sentul antara jam 6 petang hingga 7 malam pada 28 Julai lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Md. Subri Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, malah kepada semua penjaga kanak-kanak.
Tertuduh yang kelihatan sebak ketika ditunjukkan laporan bedah siasat mangsa tidak membuat sebarang rayuan bagi mengurangkan hukuman.
Bagaimanapun, dia memaklumkan kepada mahkamah bahawa suaminya telah meninggal dunia 14 tahun lalu dan kini mempunyai seorang anak lelaki berusia 16 tahun yang berada di Indonesia.
Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa yang berusia 24 tahun meminta tertuduh membawa dua anaknya berusia lima tahun dan dua tahun tiga bulan mandi di kolam renang sebuah residensi di ibu negara pada kira-kira jam 4.20 petang, 28 Julai lalu.
Sekitar jam 7 malam, tertuduh menghubungi ibu mangsa memaklumkan kanak-kanak itu lemas. Setibanya di lokasi, mangsa didapati berada di atas kerusi berhampiran kolam renang dewasa.
Tertuduh mengaku meninggalkan kedua-dua kanak-kanak itu tanpa pengawasan ketika pergi ke tandas sebelum menemui mangsa dalam keadaan lemas sebaik kembali.
Orang awam kemudian memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum mangsa dihantar ke klinik di residensi berkenaan dan seterusnya dirujuk ke Hospital Selayang dengan ambulans.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 4 pagi, 29 Julai ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah konsisten dengan lemas (consistent with drowning).
Siasatan turut mendapati tertuduh yang bekerja kurang sebulan dengan keluarga terbabit telah membawa mangsa dan abangnya ke kolam renang dewasa tanpa sebarang alat bantuan renang atau pelampung walaupun mengetahui kedua-duanya tidak boleh berenang, selain meninggalkan mereka tanpa pengawasan ketika pergi ke tandas.






