Pendakwah bebas direman lima hari seleweng dana NGO RM12.3 juta

SEORANG pendakwah bebas direman lima hari kerana disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatnya bekerja berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.

Perintah reman terhadap suspek berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan oleh Majistret, Sara Afiqah Zulkifli selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.

Reman terhadap suspek bermula pada 22 April sehingga 26 April ini.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 8 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga merupakan pengerusi NGO tersebut disyaki melakukan perbuatan tersebut pada September 2022 hingga kini.

“Suspek dipercayai telah menyalahgunakan jawatannya dan bersubahat bersama dua ahli jawatankuasa yang lain dengan memindahkan wang berjumlah kira-kira RM12.3 juta ke dalam akaun bank miliknya dan lapan lagi syarikat yang juga miliknya,” kata sumber tersebut.

Berikutan itu, SPRM Negeri Sembilan telah membekukan 15 akaun terdiri daripada tiga akaun bank persendirian selain tiga akaun bank NGO dan sembilan akaun bank syarikat dengan nilai berjumlah kira-kira RM16.5 juta.

Selain itu, turut disita ialah wang tunai termasuk mata wang asing serta tiga unit jam tangan bernilai kira-kira RM5,000, tiga unit beg tangan berjumlah kira-kira RM3,000 serta lima unit gelang tangan berjumlah kira-kira RM26,000.

“Turut disita ialah sebentuk cincin berjumlah kira-kira RM2,000, satu unit rantai berjumlah kira-kira RM7,000 dan 51 keping emas seberat 1 gram berjumlah kira-kira RM31,000,”katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img