Pengajian perubatan lebih murah di Indonesia buka peluang pelajar Malaysia

TAWARAN pengajian perubatan dengan kos lebih rendah di Indonesia dijangka membuka peluang kepada lebih ramai pelajar Malaysia melanjutkan pengajian ke peringkat antarabangsa menerusi Program Asasi Sains, bermula Januari 2027.

Inisiatif itu dilaksanakan hasil kerjasama Kolej Antarabangsa Goon (GIC) dan Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia bagi membuka lebih banyak peluang pendidikan tinggi antarabangsa kepada pelajar Malaysia.

Pengarah GIC, P. Prabagaran berkata, bagi fasa pertama, pihaknya menyasarkan pengambilan 100 pelajar pada Januari 2027 berikutan permintaan tinggi terhadap pengajian bidang perubatan di Indonesia.

“Kalau kita lihat kos pengajian perubatan di Indonesia lebih kurang RM200,000 bagi tempoh pembelajaran selama lima tahun setengah manakala di Malaysia lebih mahal, kira-kira tiga kali ganda.

“Kita juga lihat permintaan dalam bidang medik di Indonesia amat tinggi daripada pelajar Malaysia kerana di sini untuk belajar medik terlalu sedikit, ramai pelajar mohon tetapi tidak dapat jurusan yang dimahukan dan akhirnya mereka memohon di negara jiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kerjasama Strategik GIC dan UGM di Kuala Lumpur, hari ini, yang turut dihadiri wakil Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur.

Katanya, antara bidang pengajian yang berpotensi diketengahkan termasuk Sarjana Muda Perubatan (MBBS), Sarjana Muda Pergigian, Sarjana Muda Farmasi dan Sarjana Muda Perubatan Veterinari.

“GIC juga menawarkan peluang biasiswa kepada pelajar terpilih yang mengikuti Program Asasi Sains dan inisiatif ini bagi memberikan sokongan tambahan kepada pelajar yang menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang,” jelasnya.

Sementara itu, Dekan Jabatan Anatomi UGM, Profesor Teguh Budipitojo menyambut baik kerjasama berkenaan yang disifatkan sebagai peluang untuk memperkukuh hubungan pendidikan antara Malaysia dan Indonesia.

“Kami berharap kerjasama ini dapat memberikan pelajar Malaysia akses lebih luas kepada peluang akademik, maklumat serta pengalaman pembelajaran antarabangsa di UGM.

“Ketika ini, terdapat kira-kira 70 pelajar Malaysia di Jabatan Anatomi UGM. Saya percaya melalui kerjasama ini, jumlah pelajar akan bertambah. Ini sangat baik untuk sektor pendidikan Malaysia-Indonesia,” katanya.

Jelasnya, kerjasama itu turut berpotensi dikembangkan kepada penglibatan akademik lebih luas, mobiliti pelajar serta bentuk kerjasama institusi lain pada masa hadapan.

“Kerjasama GIC dan UGM membuka ruang untuk kedua-dua institusi meneroka bidang seperti mobiliti pelajar, aktiviti pelajar, program akademik serta bentuk kerjasama institusi lain, tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan bersama.

“Inisiatif ini diharap menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai program pada masa hadapan yang dapat memperkukuh pengalaman pembelajaran, pembangunan pelajar serta hubungan akademik Malaysia-Indonesia,” jelasnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here