Pengarah syarikat, pekerja kilang plastik didakwa curi lori, cuba bunuh wanita

SEORANG pengarah syarikat dan pekerja kilang plastik berdepan beberapa pertuduhan selepas didakwa mencuri sebuah lori dan seorang daripada mereka turut didakwa cuba membunuh seorang wanita di Masai, akhir bulan lalu.

Chai Min Quan, 37, dan Low Boon Lai, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan mencuri lori dibacakan secara bersama di hadapan Majistret A Shaarmini, hari ini.

Mereka didakwa bersama-sama mencuri sebuah lori di parkir hadapan pam minyak di Taman Perindustrian Plentong, Masai, pada jam 7.40 pagi, 30 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding berasingan, Low turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu lori berkenaan secara berbahaya di Jalan Mawar Biru, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, pada jam 10.20 pagi, hari sama.

Dia didakwa memandu melawan arus dan membuat pusingan U yang berbahaya kepada orang awam mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, pertuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Low kemudian dihadapkan atas dua lagi pertuduhan iaitu sengaja menghalang anggota polis menjalankan tugas dan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.7 gram.

Bagi pertuduhan menghalang polis, dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan pentadbiran Balai Polis Pasir Putih pada jam 8.25 pagi, hari sama, mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Dia turut didakwa memiliki methamphetamine di tepi Jalan Mawar Biru, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, kira-kira jam 10.20 pagi, hari sama, mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Min Quan turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba membunuh seorang wanita berusia 44 tahun dengan cara melanggarnya menggunakan sebuah Mitsubishi Triton.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Jalan Bayu 7, Bandar Seri Alam, Masai, pada jam 8 pagi, hari sama.

Min Quan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal dan Nur Fatihah Mohd Nizam serta Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Inspektor S Vikineswary.

Min Quan diwakili peguam Yap Che Kai, manakala Low tidak diwakili peguam.

Di semua mahkamah berkenaan, Low dibenarkan ikat jamin RM18,500, manakala Min Quan dengan jaminan RM17,000.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Oktober, 5 November dan 18 November depan bagi urusan serahan dokumen serta lantikan peguam bagi Low dan 7 Disember depan sementara menunggu laporan kimia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here