Pengarah syarikat telco mengaku tidak bersalah beri rasuah RM8 juta luluskan pinjaman

SEORANG ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM8 juta kepada bekas Presiden sebuah bank berhubung projek rangkaian gentian optik pesisir pantai, 14 tahun lalu.

Datuk Ranjeet Singh Sidhu, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

DATUK Ranjeet Singh Sidhu diiringi pegawai SPRM selepas didakwa atas dua pertuduhan memberi rasuah sebanyak RM8juta kepada bekas Presiden sebuah bank 14 tahun lalu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: Mohamad Redzwuan Mansor

Mengikut pertuduhan pertama, Ranjeet didakwa memberi suapan berjumlah RM8 juta kepada bekas Presiden dan Pengarah Urusan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Datuk Mohd Zafer Mohd Hashim.

Wang itu didakwa sebagai dorongan supaya Mohd Zafer membantu meluluskan permohonan pinjaman berjumlah RM400 juta oleh V Telecoms Berhad daripada BPMB bagi membiayai projek “To develop a coastal network which consist of fibre optic network around Peninsular Malaysia” (membangunkan rangkaian pesisir pantai yang merangkumi rangkaian gentian optik di sekitar Semenanjung Malaysia).

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ranjeet turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menggunakan secara tidak jujur sebagai tulen satu dokumen palsu, iaitu dokumen “Joint Completion Guarantee” antara V Telecoms Berhad dan Huawei Technologies Co Ltd bertarikh 21 Jun 2012, sebagai memenuhi syarat kelulusan permohonan pinjaman RM400 juta daripada BPMB bagi membiayai projek yang sama, di tempat dan masa yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan menawarkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri ke ibu pejabat SPRM sekali sebulan hingga kes selesai.

Peguam Datuk Gobinath Mohanna yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah dan memaklumkan mahkamah bahawa pasport anak guamnya kini berada dalam simpanan SPRM.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 30 Mac depan untuk sebutan semula kes.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img