SEORANG penolong jurutera Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ipoh hari ini, atas 146 pertuduhan rasuah melibatkan nilai keseluruhan RM183,500.
Tertuduh, Saifol Nizam Mat Zin, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan atas semua pertuduhan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai penolong jurutera Gred JA36 (TBK 1) di Bahagian Pembangunan Daerah PDT Kerian didakwa menerima suapan daripada seorang lelaki berusia 36 tahun, di sekitar daerah Kerian antara 3 Januari 2022 hingga Oktober 2023.
Mengikut pertuduhan, jumlah rasuah yang diterima dianggarkan RM103,800 pada tahun 2022 dan RM79,700 pada tahun 2023, dengan setiap transaksi melibatkan nilai antara RM500 hingga RM2,000, lapor Buletin TV3.
Difahamkan, wang rasuah yang diterima tertuduh dipercayai diterima daripada pemilik syarikat kontraktor yang menjalankan kerja di jabatan berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali serta Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor, manakala tertuduh diwakili peguam P Ravee.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta melapor diri ke pejabat SPRM Ipoh pada hari Jumaat pertama setiap bulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Tertuduh kemudian membayar wang jaminan yang telah ditetapkan mahkamah.






