Perjanjian Dagangan Timbal Balik AS-Malaysia: Mengapa bumiputera dipinggir, DEB 1970 diperleceh?

PENGANJURAN Sidang Kemuncak ASEAN 2025 oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, sungguh berwarna-warni. Ia tambah mewarnai seluruh alam semesta dengan kehadiran beberapa tokoh dunia, terutama Presiden Donald Trump.

Fokus utama sidang ini ialah pengukuhan kesepakatan dalam kalangan negara-negara ASEAN, menjadikannya di antara blok kerjasama serantau paling berpengaruh.

Pun begitu, fokus itu dicuri oleh kehadiran  Trump. Sekalipun kehadirannya sekadar transit dalam perjalanannya menghadiri Sidang Kerjasama Asia Pasifik (APEC), di Korea Selatan, semasa berada di negara ini, dua acara utama menarik perhatian dunia.

 Pertama, beliau menyaksikan perjanjian perdamaian Kemboja-Thailand yang diusahakan bersama  Trump dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kedua, perjanjian dagangan timbal balik AS-Malaysia. Tidak banyak diperkatakan mengenai acara yang pertama itu.

Bagi acara kedua, ia menarik minat banyak pihak yang bersetuju atau sebaliknya, mengenai perjanjian yang dimetarai itu. Perjanjian itu bukan sekadar berat sebelah, ia adalah satu perjanjian yang ‘mengarahkan’ Malaysia melakukan banyak perkara mengikut kehendak AS.

Terdapat 37 fasal dalam perjanjian itu yang ‘mengarahkan’ Malaysia (Malaysia shall …) untuk akur dengan kehendak AS.

Rencana ini saya tulis bukan untuk menyatakan persetujuan atau penolakan terhadap perjanjian itu. Ketidaksamaan dalam perjanjian seperti itu memang dijangkakan. Akan tetapi tidaklah kami terfikir sampai begitu sekali hinanya negara ini dipijak-pijak sesuka hati.

Negara kerdil seperti Malaysia, yang pada masa sama, berdepan pelbagai ancaman geopolitik, tidak memiliki banyak kuasa rundingan (bargaining power). Pastinya ada banyak perkara yang terpaksa ‘digadaikan’. Pun begitu berpada-padalah apa yang wajar dan tidak wajar digadaikan.

Dalam rencana ini saya cuit satu perkara yang tidak sepatutnya ‘digadaikan’, oleh Malaysia, dalam perjanjian itu.  Ia ada kaitan dengan maruah dan kedaulatan bumiputera sebagai kaum asal dan etnik majoriti negara berdaulat ini.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak istimewa mereka terkandung dalam Perkara 153. Penafian terhafap perkara ini adalah melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Malangnya, Perkara 6.2 dalam perjanjian dagangan timbal balik itu, ia menafikan hak istimewa bumiputera, seraya meletakkan syarikat-syarikat AS yang bertandang ke negara ini diberi layanan saksama, di atas pentas permainan yang sama. Ia ibarat menanakkan nasi untuk si dagang yang lalu.

Sayugia diimbas kembali, pada 15 Julai 2013, pasukan 16 wakil Majlis Perundingan Melayu (MPM) telah mengadakan dialog tidak rasmi dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menolak pendirian Kerajaan Malaysia menerima ketetapan Perjanjian Perkongsian Trans-Pacifik  (TPPA).

Pada ketika itu, wakil Malaysia terlalu berkompromi dan hampir akur dengan desakan AS untuk merombak Perlembagaan Persekutuan yang ada kaitan dengan Perkara 153 ini.

 Akhirnya Kerajaan ketika itu akur dengan desakan kami bersama banyak pihak lain. Apabila Malaysia mengubah pendiriannya, AS naik berang dan keluar dari pakatan itu. Akhirnya TPPA terbengkalai.

Pun begitu, kami menjangkakan AS tidak akan berdiam diri. Pasti ada helah lain yang akan tercetus. Mentelahan pula, Malaysia serta beberapa negara lain kemudiannya memeterai perjanjian kerjasama serantau yang lain, berjenama Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), tanpa pembabitan AS.

Apabila AS berjaya membawa kembali Presiden Trump menerajui negara itu, ia sesuatu yang tidak memeranjatkan. Secepat kilat beliau tampil dengan jadual tarif timbal balik yang dikenakan oleh AS kepada seluruh dunia, termasuk Malaysia.

AS kini pergi lebih jauh daripada apa yang dihajatkan melalui TPPA yang terdahulu itu. Bagi Malaysia pula, apa yang kita cuba halang semasa rundingan TPPA dulu, kini telah tergadai.

Dalam usaha untuk menjustifikasikan perjanjian yang dimeterai itu, sepatutnya tidaklah tercetus elemen pencacian dan peminggiran kepada mana-mana pihak.

Kami tambah terkilan kerana kesempatan diambil oleh beberapa kelompok cauvinis dalam negara yang menangguk di air keruh. Mereka mengambil kesempatan melabelkan DEB1970 sebagai dasar ‘Bumiputera First’, dengan niat secara terbuka mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan hak-hak Istimewa kepada bumiputera.

Malah mereka turut menuduh kerajaan kononnya memanjakan bumiputera dan mengamalkan dasar ala apartheid.

Saya tidak akan mendesak pihak-pihak yang celupar itu, yang mengambil kesempatan dan sengaja menghidupkan api perkauman atau pergeseran kaum, meminta maaf. Mereka tidak akan meminta maaf.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menuding jari, mempersalahkan pemimpin dan pentadbir pelbagai institusi eksekutif yang diterajui bangsa saya sendiri. Ada dalam kalangan mereka yang sengaja membunuh lebih awal riwayat DEB1970, bagi diganti dengan dasar baharu sebagai legasinya.

Ada pemimpin yang berseteru sesama sendiri, sehinggakan tergamak melabelkan DEB1970 sebagai dasar yang rasis, walhal, apa yang belaku ialah pemberian peluang ekonomi secara tidak adil kepada kroni dalam kalangan pemimpin tertentu.

 Terjadinya begitu hanyalah kerana sifat-sifat berdendam sesama mereka, iaitu salam kalangan pemimpin bangsaku sendiri.

 Dalam kalangan institusi eksekutif pula, semakin menjadi-jadi pentadbir bangsaku yang berperangai ibarat si kitol. Ada pula yang lupa daratan, mereka berada di kerusinya itu adalah kerana  bumiputera.

Malangnya, bila berada di kerusi empuk itu, merekalah yang lebih sudu daripada kuah, memperlecehkan keupayaan bangsanya sendiri, seraya menafikan hak bangsanya untuk dimudahcara, membina daya saing, daya usaha dan daya cipta, menjadi bangsa yang hebat bermaruah dan diberkati.

Nah kini, bangsaku ini semakin terpinggir dan dasar membela nasibnya diperleceh. Ia terjadi dengan taktik halus kuasa asing yang diambil kesempatan oleh pelbagai puak cauvinis dalam negara.

Andai kata bangsaku ingin bangkit dengan sedikit kekuatan yang masih berbaki, pertama, carilah pemimpin dan pentadbir dalam kalangan bangsaku yang berkeperibadian sebagai ASWJ, yang bersih, cekap dan amanah, yang hebat, bermaruah dan diberkati, bagi mengembalikan maruah dan kedaulatan bangsa ini.

Cukup azab rasanya bangsa ini dianaktirikan dengan pelbagai cara,termasuk oleh tangan-tangan kotor  bangsanya sendiri. Maka dengan ini saya serahkan kepada setiap insan dalam kalangan bangsaku ini untuk fikirkan bagaimana kita akan bangkit. Jangan ditanya mereka yang kini berada di kerusi nan empuk.

Bagi mereka, zaman bumiputera bertongkat sudah lama berlalu. Bagi mereka, zaman pembangunan dengan dasar-dasar afirmatif dan inklusif bagi melindungi kaum majoriti kelas ketiga, sudah tidak lagi relevan. Bagi mereka, dasar-dasar semasa yang membina keupayaan bersaing dan produktiviti, itulah saja yang diutamakan.

Mereka lupa yang mereka berada di situ adalah kerana mereka bumiputera. Maka, lupakanlah mereka.

Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img