PERTEMUAN isteri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali beberapa hari lalu menjadi antara kenangan yang akan terus diingati keluarganya.
Menurut Ahmad Zahid, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis sempat menziarahi Allahyarham di kediamannya pada Isnin lalu, sebelum Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi.
“Secara kebetulan, isteri saya baru mengunjungi Allahyarham Tun Hasmah di rumah ini, Isnin minggu lalu.
“Mereka berbincang panjang dan sebagai anggota BAKTI, mereka turut bernostalgia mengenai kisah-kisah lama,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di The Mines, Seri Kembangan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, perbualan antara kedua-duanya turut menyentuh mengenai perkara berkaitan kehidupan selepas kematian, termasuk alam barzakh dan padang Mahsyar.
Katanya, isi perbualan itu membuatkan beliau berasakan seolah-olah Allahyarham sudah mempunyai firasat mengenai pemergiannya.
“Seolah-olah beliau mengetahui beliau akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.
Ahmad Zahid pada masa sama menyifatkan pemergian Tun Dr Siti Hasmah sebagai kehilangan besar kepada negara.
Beliau turut menitipkan doa agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat dukacita itu.
Ahmad Zahid juga mendoakan supaya roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman.
Tun Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di IJN pagi tadi. Berita pemergian beliau disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.





