Pesara tentera bebas 17 pertuduhan cabul, cederakan rekrut lelaki

SEORANG pesara tentera berpangkat koperal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh daripada 17 pertuduhan, termasuk 15 kes mencabul seorang rekrut lelaki di Kem Terendak pada 2023.

Majistret Uthman Abd Ghani membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi semua pertuduhan dihadapi tertuduh, Mohd Amanah Habhijullah, 38.

Menurutnya, tarikh dan masa bagi setiap pertuduhan tidak dinyatakan secara spesifik menyebabkan kes pendakwaan banyak bergantung kepada keterangan pengadu yang juga saksi pendakwaan pertama (SP1).

Uthman berkata, SP1 tidak mengingati tarikh kejadian sedangkan pendakwaan mendakwa 15 kesalahan berlaku antara Ogos hingga Oktober 2023. SP1 hanya mengingati satu tarikh iaitu 14 Oktober 2023 selepas dirujuk kepada laporan polis.

Beliau berkata, terdapat percanggahan antara laporan polis SP1 dengan keterangannya di mahkamah, khususnya mengenai tindakan tertuduh selepas kejadian pada 14 Oktober 2023.

Mahkamah turut mendapati keterangan berkaitan dua pertuduhan menyebabkan kecederaan mengandungi percanggahan antara saksi pendakwaan, antaranya dakwaan tertuduh memukul SP1 menggunakan kayu penyapu dan menendangnya di dada pada 15 Oktober 2023.

Menurutnya, keterangan beberapa saksi mengenai kejadian itu juga berbeza, termasuk sama ada SP1 dipukul di kepala, kayu penyapu patah dan berlaku pendarahan.

Bagi pertuduhan ke-17 pula, terdapat percanggahan mengenai kehadiran saksi lain di tempat kejadian apabila SP1 pada awalnya menyatakan terdapat saksi lain, namun selepas laporan polis dirujuk, beliau berkata hanya dirinya dan tertuduh berada di lokasi berkenaan.

Uthman berkata, walaupun SP1 mengalami trauma dan kemurungan susulan hubungannya dengan tertuduh, kes pendakwaan masih dipenuhi percanggahan dan keraguan munasabah serta tidak disokong bukti yang mencukupi di sisi undang-undang.

Mahkamah memutuskan Mohd Amanah dilepas dan dibebaskan daripada 17 pertuduhan kerana pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan tidak selamat untuk memanggil tertuduh membela diri.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin manakala tertuduh diwakili peguam S Daniel. 11 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan, lapor BH.

Ketika ditemui selepas prosiding, Mohd Amanah kelihatan sebak dan bersyukur dengan keputusan mahkamah itu yang menurutnya membersihkan namanya daripada kes yang disifatkan sebagai fitnah.

Beliau berkata, selama dua tahun empat bulan beliau kecewa kerana difitnah dan memilih untuk melawan kes berkenaan kerana mengetahui dirinya difitnah oleh pengadu tanpa bukti.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here