KEJADIAN pokok tumbang berikutan hujan lebat petang tadi menyebabkan cetuskan kesesakan lalu lintas yang teruk di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah utara, selepas ia menghempap sebuah kenderaan.
Berdasarkan rakaman video yang tular dalam media sosial, sebatang pokok bersaiz besar dilihat tumbang merintangi lebuh raya dan mengenai sebuah kereta, sekali gus menghalang pergerakan kenderaan di dua lorong laluan terbabit.
Insiden berkenaan difahamkan menjejaskan aliran trafik terutamanya dari arah pusat bandar yang menghala ke Sungai Buloh.
Susulan kejadian itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati, peka dengan keadaan sekeliling dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan berkenaan.
Sementara itu, media sedang mendapatkan pengesahan dan tindakan lanjut daripda pihak bomba berhubung kejadian berkenaan.





